07 December 2010

Salam Maal Hijrah 1432





Assalammualaikum & salam sejahtera...

Hari ini umat islam seluruh dunia menyambut kedatangan awal Muharram menandakan tahun baru (1432H) dalam kalendar islam ataupun lebih dikenali sebagai Maal Hijrah. Maal Hijrah juga dikaitkan dengan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah pada 622AD. 


"Alhamdulillah" hingga ke saat ini, Allah s.w.t. masih memberi saya peluang untuk menghirup udaraNya dan meminjamkan tubuh yang sihat ini kepada saya. TanpaNya, saya tak mungkin dapat menyambut Maal Hijrah pada hari ini. 


dibaca selepas asar, sebelum maghrib.

dibaca selepas maghrib



Hati saya sebak sangat apabila membaca doa-doa tersebut terutamanya doa akhir tahun.
Sungguh, banyak dosa yang telah kita lakukan sama ada kecil mahupun besar. Namun, Allah s.w.t. yang Maha Pemurah tetap memberikan kita pinjamanNya dan nikmatNya kepada kita. Sedangkan, Allah s.w.t. itu Maha Berkuasa, dan pada bila-bila masa sahaja Dia boleh menarik kembali nikmatNya dan memberi kita pengajaran bukan? Tetapi Allah itu Maha Mengasihi, Dia memberi kita peluang untuk bertaubat sebelum memanggil kita kembali kepadaNya.


Jadi, seharusnya kita sedar bahawa hijrah bukan sekadar pindah ataupun berubah. Hijrah membawa maksud yang lebih besar iaitu berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Hari ini lebih baik daripada semalam. Hari esok haruslah lebih baik daripada hari ini.
 Namun untuk berhijrah bukanlah sesuatu yang mudah. Hijrah memerlukan kesabaran, keikhlasan dan pengorbanan.


Saya ingin ceritakan penghijrahan saya yang paling bermakna.
Penghijrahan saya untuk menutup aurat.


Semenjak kecil, saya sedia maklum bahawa menutup aurat itu wajib. Ye la, sebab itulah yang ustaz dan ustazah selalu ceritakan. Tapi saya tak faham kenapa kita perlu menutup aurat. Bagi saya, apa yang penting ialah hati dan amalan kita. Tidak semestinya orang yang bertudung itu elok dan yang tidak bertudung tu teruk. 


Ironinya, saya memakai tudung ke sekolah meskipun sekolah tidak mewajibkannya tetapi saya melakukannya kerana tidak mahu diceramah oleh ustazah. Namun, apabila diluar kawasan sekolah, saya kembali free hair.


Hari demi hari, saya makin meningkat dewasa dan orang disekeliling saya semakin ramai yang mula memakai tudung. Kadang-kadang, apabila saya pergi bersolat di surau mahupun masjid, orang seoalah-olah memandang pelik pada saya. Saya rasa malu sangat. 


Apabila saya di terima masuk ke sebuah kolej selepas tamat persekolahan, saya terfikir untuk bertudung. Pada mulanya, niat saya untuk memudahkan saya fit in dan mendapat kawan. Ye la, saya percaya mesti ramai yang bertudung di kolej nanti. Saya takut tidak ada yang ingin berkawan dengan saya andainya saya free hair.


Namun, disebabkan semasa di sana saya banyak menghadiri kuliah agama dan mendengar ceramah daripada ustaz dan ustazah tentang pentingnya menutup aurat. Hal ini telah membuka hati saya untuk terus kekal dengan imej bertudung. Lagipun, saya dah seringkali memakainya dan tidak lagi merasa rimas seperti dulu.


Pada mulanya, saya agak takut juga dengan pandangan keluarga dan rakan-rakan saya. Tetapi alhamdulillah mereka menerimanya dengan positif. Semenjak itu, saya merasa lebih bahagia dan yakin dengan diri saya. 


Allah Maha Besar. Alhamdulillah Dia telah membuka hati saya untuk melakukan penghijrahan ini.


Assalammualaikum & Salam Maal Hijrah...

No comments:

Post a Comment